“Sesungguhnya jika kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan sedikit
ketawa dan banyak menangis...”
Cuaca di bumi
Jordan sungguh dingin. Tingkap bilik Kamar Seni di Al-Karak dibuka perlahan. Suasana seperti itu telah menyebabkan ramai
pelajar-pelajar universiti Jami’ah Mu’tah ditimpa demam dan selesema. Mungkin antibody mereka yang lemah
menyebabkan penyakit itu datang bertandang. Tetapi bagi Saiful Ashraf, dia
sudah biasa dengan cuaca dan suasana di Mu’tah. Tambahan pula dia sudah
dibekalkan oleh ibunya ubat homeopathy untuk merawat dan menjadi ikhtiar
baginya berlindung dari sebarang sakit seperti demam dan sebagainya. Pepatah
hikmah juga pernah menyatakan, “Mencegah itu lebih baik daripada merawat.”
Mindanya teringat kepada seorang sahabat baik Rasulullah saw, iaitu Abu Bakar
as-Siddiq. Beliau tidak pernah menelan sebarang ubat, kerana baginya ubat yang
terbaik ialah keyakinan kepada Allah. Subhanallah... Sungguh hebat tahap
keyakinannya terhadap Tuhan sekalian alam. Sungguh aku tidak mampu menjadi
sepertinya. Saiful Ashraf bermonolog sendirian.
Empat tahun
menuntut ilmu dalam bidang Syari’ah Fi al-Fiqh wa Usul al-Fiqh di
Jami’ah Mu’tah, Jordan ini telah menyebabkan Saiful Ashraf mempunyai banyak
pengalaman dan sudah biasa dengan suasana di sini. Baginya, kehidupan di sini
lebih dia sukai berbanding suasana di tempat kelahirannya. Kerana di sini
adalah medan ilmu dan juga merupakan bumi para anbiya’ dan para mujahidin yang berperang di jalan Allah.
“Subhanallah....” Ucapan tasbih meniti di bibir Saiful Ashraf.
Melihat ciptaan Ilahi di dada langit, menjadikan dirinya serba kerdil dan
sekaligus membesarkan kalimah Al-Ilaah.
“Oit! Jauh
mengelamun...” Hanif menepuk bahu Saiful
Ashraf yang sedang leka termenung melihat langit melalui tingkap biliknya.
“Astaghfirullah...
Terkejut aku Nif.. Kalau ye pun bagilah salam dulu..” Saiful Ashraf tersenyum kelat melihat kawan
sebiliknya itu. Hanif tersenyum melihat reaksi wajah sahabat baiknya.
“Asif-asif...
Assalamu’alaikum Ustaz Saiful Ashraf bin Saifuddin.” Hanif tersenyum lagi melihat sahabatnya mula
melemparkan senyuman manis. Manis wajah Saiful Ashraf. Ramai siswi-siswi di Mu’tah
yang jatuh hati pada pemuda ini. Bukan saja tertarik dengan wajahnya yang
berkulit hitam manis dan kacak itu. Malahan, kerana mereka lebih tertarik
dengan perwatakan dan akhlak Saiful Ashraf. Ramai siswa-siswa di sini mahu
meneladani watak yang ditonjolkan olehnya.
“Ha...
Wa’alaikumussalam. Macamtu baru nampak sopan dan sekurang-kurangnya dapat
pahala...” Saiful Ashraf melemparkan
senyuman.
“Na’am-na’am...
Em, buat apa termenung? Ada masalah?”
Hanif memuntahkan soalan yang bersarang dalam mindanya sejak melihat
sahabatnya itu termenung di tepi tingkap.
“Ish... Tak
adalah. Aku teringat kat kawan-kawan lama aku kat sekolah dulu. Entah tiba-tiba
teringat kat dia orang. Terutama.....”
“Mus!” Hanif menyambung ayat Saiful Ashraf. Acap
kali Saiful Ashraf bercerita tentang sahabat baiknya itu. Mustafa mohd. Kawan
zaman mereka bersekolah sejak dari sekolah rendah sampai sekolah menengah.
Itulah salah satunya kawan baik yang paling rapat dengan Saiful Ashraf. Sebelum
tidur, selepas bercerita tentang sahabat-sahabat Rasulullah saw, pasti Saiful Ashraf
akan bercerita mengenai kawannya itu. Mustafa.... Yang pernah dan selalu bantu
Saiful Ashraf di sekolah. Mustafa lah sahabat yang selalu backup dan
mempertahankan Saiful Ashraf yang sering dibuli oleh samseng-samseng sekolah
sewaktu ketika dahulu. Hanya Mustafa sahaja yang berani berhadapan dengan geng
‘Copek’ di sekolah.
Saiful Ashraf
tersenyum. Dia kemudian menganggukkan kepalanya. Hanif membalas senyumannya
mesra. “Tahun ni, tahun akhir aku Nif. Aku nak balik Malaysia dah. Aku ingat
aku nak cari Mus balik. Entah apa dia buat sekarang. Entah-entah dah jadi ahli business
man ke, kan?” Saiful Ashraf
memandang sahabatnya itu. Menunggu jawapan dan harapan baik yang dia berikan.
“Insha-Allah..
Dia mesti jadi orang hebat-hebat punya. Sebab tengoklah kawannya ni, tak ke
hebat... Hehe...” Hanif mengagumi sifat
dan ilmu Saiful Ashraf. Saiful Ashraf seorang yang berjawatan di Universiti Jami’ah
Mu’tah. Tambahan pula, beliau selalu menaiki pentas kerana setiap semester
mendapat pencapaian yang cemerlang. Tidak dinafikan, sifat dan perwatakan
inilah menjadi kegilaan para siswi di sini. Hanif dan Saiful Ashraf tersenyum
mesra.
4 Comments