Bedah Filem: Baghban (2003)

Tajuk: Baghban
Lakonan: Amitabh Bachchan, Hema Malini, Salman Khan, Mahima Choudry.


Baghban sebuah filem yang sangat menarik untuk tatapan anak-anak moden yang makin lupa asal usul mereka. Baghban bermaksud tukang kebun, iaitu penjaga taman-taman. Tujuan filem ini diadaptasi ialah untuk menyedarkan anak-anak yang semakin hari semakin lupa untuk berbakti kepada ibu bapa.

Filem ini dimulakan dengan watak seorang suami yang bernama Raj Malhotra yang terlalu menyayangi isterinya, Pooja. Raj bekerja sebagai akauntan di sebuah bank selama beberapa tahun. Mereka mempunyai 4 orang anak lelaki dan 3 menantu perempuan. Pada awalnya anak dan menantunya tunjukkan kasih sayang mereka kepada ibu bapa mereka apabila sesekali pulang bercuti. Tetapi selepas Bapa mereka sudah bersara dan tidak mampu untuk menyara lagi maka sikap anak anak dan menantu Raj Malhotra berubah.

Raj meminta untuk menumpang di rumah anak anak mereka bersama Pooja, iaitu ibu kandung kepada anak2 tersebut. Tapi mereka rasa terbeban untuk menumpangkan ibu bapa mereka di rumah. Jadi mereka berbincang agar dipisahkan ibu dan ayahnya, seorang di rumah anak sulong dan seorang lagi di rumah anak kedua selama 6 bulan secara bergilir-gilir. Tujuannya agar ayahnya tidak mahu untuk tinggal bersama anaknya tanpa ibunya di sisi. Malangnya ayahnya bersetuju walau terpaksa berpisah dengan isteri kesayangan.

Dalam tempoh 6 bulan duduk di rumah anak sulongnya itu, Raj dilayan secara kurang ajar oleh anak dan menantunya. Disindir, tidak ada langsung rasa hormat dan kosong dengan kasih sayang di rumah itu. Begitu juga Pooja yang terpaksa duduk di rumah anak keduanya juga tidak dihormati oleh anak menantu sehingga diibaratkan seperti orang gaji di rumah itu.

Selepas tempoh 6 bulan itu mereka keluar dan terpaksa untuk bergilir dijaga oleh anak ketiga dan keempat pula. Tapi dalam perjalanan itu mereka terjumpa anak angkatnya Alok (Salman Khan). Alok membawa ibu bapa angkatnya ke rumah banglonya. Di situ Raj dan Pooja dapat layanan yang sangat istimewa oleh Alok dan isterinya, Arpit (lakonan Mahima Choudry). Betapa sayangnya Alok kepada ibu bapa angkatnya kerana rasa terhutang budi. Alok seorang anak yatim piatu telah menganggap Raj dan Pooja seperti ibu bapa kandungnya.

Di sini dapat kita lihat dua cara penjagaan yang sangat berbeza, seorang anak kandung yang menjaga ibu bapanya sambil lewa, seorang lagi anak angkat yang mampu menjaga dan treat ibu bapa angkatnya di tempat yang mulia.

Begitulah yang Islam ajar, dalam surah al -isra' Allah mengingatkan kita bahawa jika ada ibu bapa kita yang sudah lanjut usia duduk dalam jagaan kita maka hendaklah kita melayani mereka dengan hormat dan memuliakan mereka. Berbuat baiklah kepada mereka, janganlah herdik dan meninggikan suara kepada mereka. Beginilah yang ditunjukkan Alok dalam filem ini.

Pepatah ada mengatakan seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh anak tidak mampu menjaga seorang ibu. Begitulah yang ditonjolkan dalam filem hebat ini. Menitiskan airmatamu menonton filem bertemakan ibu bapa ini. It is all about loving your parents!

Lots of Love,
Delisha Haseena.


Post a Comment

0 Comments