"Fahami konsep Berbakti kepada ibubapa"


Seringkali kita terlupa erti "Bakti kepada ibu bapa".

Pernah tak kita bersembang dan bertanya pada orang tua kita, apakah kemahuan mereka? Apa yang mereka inginkan dari kita?

Adakah duit segala-galanya? Harta?
Tidak! Bukanlah ibu bapa kita itu "mata duitan" sehinggakan dalam benak fikiran kita asyik memikirkan bahawa ibu dan ayahku mahukan duit semata-mata!

Bagaimana jika anak yang tidak punya pekerjaan? Menganggur? Adakah mereka ini tidak boleh berbakti kepada orang tua? Tidak boleh "belanja" orang tua mereka kerana tidak ada duit? Lalu mereka ini dikategorikan sebagai anak yang "tidak berbakti".

Sangat sempit pemikiran kita.

Kembalilah pada al-Quran dan as-Sunnah Rasul. Dalam al-Quran bagaimana "cara berbakti pada orang tua" yang Allah ajarkan kepada kita?

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."

[31:14]

Berbuat baik kepada ibu bapa?
Tidak semestinya berbuat baik itu perlu bagi duit pada mereka. Kadang-kadang ibubapa bukanlah nak duit sangat daripada anak-anaknya. Pernah saya dengar luahan seorang ibu yang berkata "Anak-anak tak faham. Kita rindu nak tengok muka dia, nak dia dengar luahan kita, nak mereka sembang dengan kita. Bukan sekadar bank in duit tapi bayang pun tak nampak..."

Ibu tadi sudah terluka dek kerana anak tidak pulang dan jauh sekali dapat berbuat baik pada orang tua.

Jangan salah faham. Bukan maksud saya tidak perlu bagi duit pada ibu bapa. Bagilah duit pada mereka walau RM1 sehari untuk capai keberkatan dalam kehidupan kita. Cuma saya mahu ingatkan supaya kita perbetulkan pemahaman kita tentang konsep berbakti pada orang tua.

Rujuk surah al-Isra' ada juga Allah sebutkan supaya kita berbuat baik pada ibubapa dan tidak berkata kasar dengan mereka. Itulah sebaik-baik bakti pada mereka. InshaAllah sama-sama berusaha walaupun seringkali kecundang.

Masih banyak cara untuk berbakti pada ibu bapa jika anak-anak tidak ada pekerjaan:

1. Tolong ibu bapa kemas rumah.
2. Sediakan makanan untuk mereka.
3. Tolong kemas kawasan rumah. Ibu bapa tengok rumah bersih hati pun gembira.
4. Tidak melukakan hati mereka pun salah satu daripada "bakti" iaitu dengan "sentiasa berbuat baik" pada mereka.
5. Suapkan ibu bapa makan. Jika mereka sakit.
6. Beri rawatan pada mereka.
7. Doakan mereka.
8. Mandikan mereka.
9. Taat perintah mereka selagi tidak bertentangan dengan syarak.
10. Dan banyak lagi.

Jadi, kesimpulannya jangan cepat menghukum dan janganlah terlalu rasa "bangga" sekiranya kita selalu bagi duit pada ibu dan ayah kita sedangkan kita masih belum "berbakti" / "berbuat baik" pada mereka.

"Birrul Waalidaini Ihsaana"

Birru = Berbuat baik/ berbakti
Ihsaana = Perbaiki akhlak / jadi anak solehah pada ibu dan ayah / berbuat baik

AllahuA'lam.


Post a Comment

0 Comments