SAHABATKU: Manis Senyumanmu Masih Terasa



BUNYI bising menyebabkan aku terjaga daripada lena yang dalam...

"Pukul berapa sekarang, Pok Jat?" Aku bertanya dalam keadaan mamai kepada Hafizat atau nama timangannya Pok Jat.

"Tiga pagi," Ringkas dia menjawab. Hafizat masih sibuk dengan laptopnya seakan tidak mempedulikan aku. Mukanya seakan menahan rasa sedih yang mendalam.

Abdullah Sobri atau Pok Lah kelihatan begitu resah. Aku mendengar daripada perbualan talefonnya mengatakan seseorang masih koma. Hatiku mula merasa gelisah.

"Kamu sudah tahu yang Hanafi tengah koma sekarang?"

Persoalan daripada Abdullah membuatkan aku terus segar terjaga.

"Ya Allah! Betul ke? Kenapa?" Aku begitu terkejut dengan berita yang baru aku dengar.

"Haah, kemalangan. Ni, kamu tahu yang Oyak Kayo dah meninggal?"

Sekali lagi aku terkejut besar. Aku seakan tidak percaya dengan berita yang baru didengari tersebut.

"Ya Allah. Bila?"

"Malam tadi," ringkas Abdullah menjawab.

Wajah arwah Saiful Asraf atau lebih dikenali dengan nama Oyak Kayo menggamit mindaku. Baru sahaja aku bertemu dengannya selepas solat Maghrib di Masjid Syuhada sebentar tadi. Kehilangan dirinya secara tiba-tiba memang begitu mengejutkan aku. Air mata mengalir tanpa aku sedar. Aku menarik kembali selimutku agar tidak dilihat kesedihan yang melanda jiwaku. Sebentar sahaja aku terus memasuki dunia mimpi dalam resah yang masih membaluti...


SELESAI solat Subuh di Masjid Syuhada, seperti yang diduga, para pelajar berkumpul di pintu gerbang masjid. Kematian Oyak Kayo menjadi topik perbualan. Aku merapati Khalil, sahabat paling karib dengan arwahyarham. Hayyi, seorang senior kami, merangkap Penasihat bagi PERMATA yang turut berada bersama kami mula menceritakan detik-detik akhir kematian arwahyarham,

"Malam kejadian, mereka menuju ke lapangan terbang untuk mengambil akhowat yang baru pulang daripada bercuti. Hanafi yang membawa kereta tersebut. Waktu tersebut, mereka dalam perjalanan pulang menuju ke Mu'tah. Hanafi merasa mereka sudah terlepas masuk simpang menuju ke Karak. Dia bertanya kepada Oyak. Oyak yang dalam keadaan mamai sebab tidur hanya mengiyakan dan menyambung kembali tidurnya. Merasa tidak sedap hati, Hanafi bertanya lagi kepada Oyak, perlu ke untuk membuat U-turn, Oyak yang masih dalam mamai sekali lagi mengiyakan. Lepas tu, Hanafi pun mula la buat U-turn,"

Kami yang mendengar semakin berdebar...

"Kemudian, bila Hanafi membuat U-turn, matanya silau sebab lampu tinggi daripada arah bertentangan. Hanafi tak nampak jalan, lepas itu dia terlanggar benteng jalan. Waktu tu dia mula cemas dan tertekan minyak. Selepas daripada situ, kemalangan mula berlaku. Kepala Oyak terhantuk. Dia meninggal kerana pendarahan dalaman."

"Keadaan yang lain, macam mana?" Hadi bertanya.

"Yang lain, alhamdulillah."

"Hanafi katanya koma?"

"Bukan koma, tapi trauma. Keadaan yang lain stabil, cuma luka bahagian luar sahaja," Hayyi menjelaskan. Lega aku mendengar berita kesihatan pelajar yang lain.

Kami semua terdiam selepas mendengar pencerahan daripada Fakhrul.

"Kome semua nampak tak perubahan pada Oyak kebelakangan ni? Tak ada kan?" Khalil memecah kesunyian.

"Status terakhir dia dalam facebook," mereka yang lain mula bersuara.

Status terakhir arwahyarham di facebook adalah petikan lirik daripada lagu Keinsafan nyanyian kumpulan Krabat. Lirik lagu tersebut akan aku nukilkan di penghujung penulisan ini.

Allahyarham Saiful Asraf begitu dikenali di bumi Mu'tah ini. Perwatakannya yang suka tersenyum, ramah menyapa sesiapa sahaja dan melazimi solat berjemaah di masjid membuatkan dia begitu dikenali. Jika berjumpa dengannya, pasti dia menjadi orang pertama yang menghulurkan salam dan menyedekahkan senyuman. Arwahyarham begitu menghormati semua sahabat-sahabatnya tidak kira yang lebih tua ataupun yang lebih muda daripadanya.

Mindaku kembali semula selepas jauh menerawang...

"Oyak, sebelum dia meninggal, 2,3 hari ini, dia tak tidur malam. Bilik dia tertutup, lepas tu dia padamkan lampu. Aku pun tak tahu dia buat apa. Tapi yang pasti, dia lepas itu mesti turun pergi solat Subuh berjemaah di masjid," Khalil menceritakan hari-hari terakhir arwahyarham.

Petikan berita mengenai nahas yang meragut nyawanya


SUBUH esoknya, aku sempat menjamah sarapan bersama dengan Presiden MPPMJ, ustaz Kailani bersama dengan Afif di Mat'am Zumur. Perbualan kami masih berkisar dengan kemalangan yang meragut nyawa sahabat kami.

"Bila jenazah nak dihantar pulang?" Afif bertanya kepada Kailani.

"InsyaAllah petang ini (16hb September) jenazahnya akan dihantar pulang."

"Enta sempat tengok wajahnya?" Afif terus bertanya.

"Sempat. Memang kalau tengok wajahnya, wajah seperti syahid. Kalau ikut adat, jenazah yang sudah masuk hari kedua, mesti sudah berbau hanyir. Tetapi jenazah dia berbau wangi. Ana ingat ana je yang perasan bau tu, rupanya Syauqani dengan Ehsan Fadhli pun sama,"

Aku dan Afif masih mahu terus mendengar.

"Lagi, waktu kami tengok wajahnya, arwah dalam keadaan tersenyum. Badannya masih dalam keadaan baik, cuma luka di kepala sahaja. Lebih menghairankan, darah merah masih lagi mengalir daripada hidung seperti masih hidup. Memang seperti tanda-tanda mati syahid. MasyaAllah," Bersungguh-sungguh Kailani bercerita.

"Itu la, Allah sudah bercerita dah, kalau kita merangkak berjumpa dengannya, Allah akan berjalan menemui kita. Jika kita berjalan, Allah akan berlari," sempat Kailani memberikan taujihad.


Arwahyarham Saiful Asraf, walau dirimu tiada di sini, manis senyumanmu masih kami terasa sehingga kini.
Sedekah Al-Fatihah untuk dirimu, sahabatku...


Status facebook arwahyarham yang terakhir...

Sayup terdengar hujan mencurah ke bumi
Kini terasa memecah kesunyian malam
Dan aku di sini sendiri dibaluti resah
Dibayangi sesal yang tak sudah

Renung langit sepi tiada purnama
Di dalam kelam ku lihat bayangku sendiri
Terpaku membisu tanpa suara dan segala
Apa petanda, apa rahsia

Oh Tuhanku Yang Maha Esa
Maha Penyayang Maha Pemurah
Andainya malam yang begini
Memberi pengertian untukku
Mencari hidayahmu...

Maka kutadahkan setulus
Pengampunan dan pengharapan
Untuk aku menebus dosa-dosa semalam

Cukup setakat ini... aku merasa
Terasing terhukuman dalam sengsara
Balasan dari kehancuran
Yang aku ciptakan

Dan kini ku mengerti
Antara dosa pahala
Yang mana lebih utama
Dalam meniti hidupan dan hari kematian
oh...

Andai malam ini satu peringatan
Bersyukurku pada Illahi
Andai malam ini satu kesudahan
Ku pintakan... satu pengaduan
Untukku menyudahkan kalimah
Terakhir...

~Krabat - Keinsafan~
-muhasabah diri masing2 yokk!!
 


via 
http://ibnuwafi.blogspot.com/2012/09/manis-senyumanmu-masih-terasa.html

Post a Comment

2 Comments

al fatihah..
teringat pula pd sahabat2 ana yang telah kembali ke rahmatullah..
moga ditempatkan dikalangan org2 yang beriman..ameen
Delisha Haseena said…
Amin... shukron Dielah.. moga mrk yg sudah kmbali ke rahmatullah dpt rahmat Ilahi, amin...